Program DMK bertujuan untuk menyemarakkan literasi membaca dalam kalangan rakyat negara ini kerana menurut kajian profil membaca rakyat Malaysia yang dikendalikan oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 2005, setiap rakyat Malaysia membaca purata dua naskhah buku setahun. Manakala kajian interim 2014 pula menunjukkan bahawa rakyat Malaysia membaca sebanyak 15 naskhah buku setahun. Hal ini berbeza dengan rakyat negara maju yang membaca sebanyak 40 naskhah buku setahun.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadikan rentang masa 10 tahun, dari tahun 2021 hingga tahun 2030 sebagai DMK dan menjadikan Malaysia sebagai negara membaca pada tahun 2030. Sepanjang tiga tahun mulai tahun 2018 hingga 2020 adalah tempoh menggiatkan kempen DMK. Slogan dan tanda pagar #MALAYSIAMEMBACA dipilih dan akan dipopularkan sebagai aspirasi menjadikan Malaysia negara membaca dan melahirkan masyarakat berilmu.
Pelbagai program DMK dirangka untuk mencapai hasrat tersebut, antaranya aktiviti membaca kebangsaan di seluruh negara; kempen membaca di sekolah dan di rumah; dan kempen membaca kepada golongan kelainan upaya, gelandangan, warga emas dan lain-lain. Prasarana aktiviti membaca, antaranya pasar buku, lorong e-buku, akademi kota buku dan muzium bahasa dan persuratan Melayu turut disediakan. Selain itu, penganjuran pesta buku diperbanyak di pelbagai peringkat — kebangsaan, antarabangsa, sektor, negeri dan sebagainya.
0 Ulasan